KOLEJ KOMUNITI CAWANGAN SIBU

 

Kolej Komuniti mula ditubuhkan di Malaysia pada tahun 2000 dan dilaksanakan di setiap kawasan parlimen. Kolej Komuniti juga merupakan salah satu institusi pendidikan awam di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Konsep penubuhannya adalah bagi menyediakan keperluan latihan dan kemahiran pada semua peringkat umur dan memberi peluang pendidikan kepada lepasan menengah sebelum ke pasaran tenaga kerja atau melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Pembinaan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu dibina bertujuan menjadi penyedia program latihan dan kemahiran kepada komuniti kawasan tengah Sarawak khususnya di Bahagian Sibu dan kawasan sekitarnya. Melalui pembinaan Kolej Komuniti baharu ini, ia akan dapat memenuhi permintaan yang memberangsangkan dalam kalangan ibu bapa kini serta menjadi pilihan untuk melanjutkan pelajaran anak-anak lepasan sekolah menengah ke bidang latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET).

Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu ialah Kolej Komuniti yang ke-7 di Negeri Sarawak selain Kolej Komuniti sedia ada iaitu Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Santubong, Kolej Komuniti Betong, Kolej Komuniti Sarikei dan Kolej Komuniti Miri. Kolej Komuniti Cawangan Sibu akan menawarkan Program Kursus Sepenuh Masa peringkat sijil iaitu Sijil Pengembaraan Pelancongan dengan tempoh pengajian selama 16 bulan. 

Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu adalah dibawah Kolej Komuniti Sarikei dan akan mula menerima pelajar untuk ambilan Disember 2019.